Sunday, February 1, 2009

pengenalan kepada antropometri

PENGENALAN

Jelliffe ( 1966 ) menakrifkan penilaian antropometri sebagai pengukuran variasi dimensi fizikal dan komposisi kasar tubuh badan manusia pada tahap umur dan pemakanan yang berlainan. Jadi, ini menunjukkan bahawa penilaian antropometri dapat membezakan saiz tubuh scara keseluruhannya termasuk perkembangan rangka serta tisu lembut, iaitu tisu otot dan tisu lemak.

Pada tahun 1992, Mahan dan Arlin telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa antropometri adalah cara yang berkesan dalam pemeriksaan klinikal status pemakanan seseorang. Pertumbuhan dan perkembangan individu untuk masa lampau dapat dicerminkan melalui pengukuran fizikal ini. Contohnya, ukuran pada lilitan kepala terutamanya pada bayi umur kurang dari 2 tahun dan ketinggian iaitu panjang bayi. Ukuran yang lain seperti ukurlilit pinggang, lengan atas, lipatan kulit dan berat badan pula dapat mencerminkan status pemakanan seseorang pada masa tertentu. Dengan secara tidak langsung, bentuk simpanan lemak, iaitu sama ada dalam bentuk perauts lemak atau jisim tubuh tanpa lemak (JTTL) dapat dinilaikan.

Sejak tahun 1996 antropometri telah mula digunakan dan kerap digunakan untuk menilai status pemakanan seseorang. Ia adalah satu bidang sains yang berkaitan dengan pengukuran tinggi, berat, saiz, dan dimensi tubuh badan manusia. Di samping itu, antropometri juga memberikan gambaran berkenaan dengan keadaan malpemakanan, kelebihan makanan, ketidaklengkapan makanan dan situasi pemakanan.

Ukuran antropometri boleh dibahagikan kepada 2 jenis, iaitu:
1. ukuran komposisi tubuh
2. ukuran pertumbuhan.

Ukuran yang biasa digunakan ialah berat badan, ketinggian, lilitan pinggang, lilitan pinggul serta lengan. Ketinggian dan berat boleh diukur dengan stadiometer dan penimbang SECA di dalam makmal.. Ketinggian duduk, panjang lengan atas, lengan bawah, kelebaran biakromial dan kelebaran biiliocristal boleh diukur dengan menggunakan alat antropometri. Lipatan kulit bisep, trisep, subskapular dan iliac-crest pula diukur dengan menggunakan alat Harpenden skinfold calipers. Broad-faced sliding caliper Holtain digunakan untuk mengukur kelebaran siku. Pita ukur tidak elastic digunakan untuk mengukur ukurlilit kepala, lengan atas, pinggang, pinggul dan betis.

Indeks antropometri boleh diterbitkan daripada satu ukuran atau
kombinasi beberapa ukuran. Misalnya berat badan mengikut umur dan ketinggian mengikut umur merupakan satu ukuran, manakala BMI (Body Mass Indeks) dan WHR (Waist-Hip Ratio) merupakan kombinasi.

Kaedah Antropometri yang digunakan bagi menilai komposisi tubuh berdasarkan model di mana tubuh terbahagi kepada 2 bahagian iaitu lemak dan jisim tubuh tanpa lemak (JTTL) Teknik ini boleh menilai secara tidak langsung kedua-dua bahagian tubuh ini. Variasi dalam jumlah dan nisbah lemak kepada JTTL akan memberi gambaran mengenai stastus pemakanan.

Penentuan lemak tubuh dapat ditentukan dengan :

i) Ukuran lipatan kulit pada trisep ,bisep , subskapula dan suprailiak dengan menganggap ketebalan tisu adipos subskutan dapat menggambarkan nisbah jumlah lemak tubuh (TBF) yang konstan dan kedudukan lipatan kulit yang dipilih untuk ukuran dapat mewakili ketebalan kesemua tisu adipos subskutan.

ii) Nisbah pinggang-pinggul dengan nilai ‘cut-off” bagi risiko penyakit jantung , hipertensi dan diabetes. Nilai ‘cut-off’ untuk perempuan adalah 0.95 dan 0.85 untuk lelaki.

iii) Luas lemak anggota yang biasa digunakan termasuk Pertengahan lengan atas peha dan betis.

iv) Ukurlilit otot lengan dan luas kawasan otot lengan boleh digunakan bagi menilai jumlah jisim otot dalam tubuh. Kedua-dua dikira daripada UAC dan ukuran lipatan kulit trisep.

Terdapat beberapa kelebihan pengukuran Antropometri, antaranya ialah :
a) teknik mudah, selamat dan non-invasive
b) peralatan murah, boleh alih (portable) dan tahan lama
c) personel yang tidak berapa mahir juga boleh membuat ukuran
d) kaedah adalah persis dan tepat jika teknik standardised digunakan
e) maklumat yang didapati adalah daripada sejarah pemakanan jangkamasa panjang
f) boleh membantu mengenalpasti tahap-tahap salahpemakanan yang ringan, sederhana dan teruk
g) boleh menilai perubahan ‘secular trend’, perubahan status pemakanan jangkamasa panjang
h) boleh digunakan dalam penskrinan untuk mengenalpasti individu yang mempunyai risiko salahpemakanan

Namun begitu, terdapat juga beberapa kelemahan dalam penggunaan kaedah Antropometri ini :
a) kurang sensitif secara relatif, iaitu tidak boleh mengesan gangguan pemakanan dalam jangkamasa pendek dan tidak dapat mengenalpasti kekurangan nutrien yang spesifik.
b) Tidak dapat membezakan gangguan pertumbuhan atau komposisi tubuh yang disebabkan oleh kekurangan nutrien tertentu daripada gangguan yang disebabkan oleh ketidakseimbangan protein tenaga.
c) Faktor bukan pemakanan seperti penyakit, genetik, variasi harian dan penggunaan tenaga yang menurun boleh mengurangkan kepekaan dan ketepatan Antropometri.

Terdapat berbagai-bagai jenis peralatan yang digunakan bagi membuat
ukuran Antropometri. Pemilihan alat bergantung kepada keperluan keadaan, di antaranya ialah kemudahan cara penggunaan, ketepatan, mudah dibawa dan harga peralatan tersebut. Alat-alat yang biasa digunakan dalam pengukuran Antropometri adalah stadiometer , antropometer , Harpenden skinfold calipers dan lain-lain lagi.

Terdapat 4 jenis indeks pertumbuhan, iaitu:

i. ukurlilit kepala-mengikut-umur yang boleh digunakan sebagai indeks malpemakanan protein-tenaga kronik (PEM) sehingga 2 tahun
ii. Ketinggian-mengikut-umur yang merupakan indeks bagi masalah kerencatan atau ‘stunting
iii. Berat badan-mengikut-umur yang merupakan indeks malpemakanan akut bagi kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 7 tahun.
iv. Berat badan-mengikut-ketinggian yang merupakan indeks yang sensitif untuk status pemakanan kini.

Data rujukan Antropometri boleh diterbitkan daripada 2 sumber berlainan, iaitu data tempatan dan data antarabangsa. Data rujukan biasanya diklasifikasikan mengikut umur, jantina dan kadang-kala etnik. Klasifikasi mengikut pembolehubah lain seperti bilangan adik-beradik dalam keluarga atau tahap kematangan boleh meningkatkan kepekaan dan ketepatan data untuk mengenalpasti individu atau kumpulan yang berisiko tinggi.

Beberapa faktor perlu diambil perhatian. Antaranya ialah penggunaan alatan yang betul, landmark pada tubuh, keadaan sekeliling dan pastikan subjek tidak melakukan aktiviti seperti: senaman seblum ukuran diambil, semasa kita menafsirkan penilaian antropometri, perlu mengambil kira faktor-faktor seperti etnik, berat lahir, jisim tubuh tanpa lemak (JTTL), luas otot lengan dan luas lemak lengan atas.

Kaedah ini dapat menilai keberkesanan program pencelahan(intervensi) makanan. Hal ini demikian kerana indeks komposisi tubuh yang diterbitkan daripada ukuran antropometri dapat digunakan untuk mengenalpasti individu berisiko tinggi terhadap sesuatu penyakit.

No comments:

Post a Comment