Saturday, January 31, 2009

amali 2

DKK 3074 PENILAIAN STATUS PEMAKANAN

AMALI 2: PENGUKURAN ANTROPOMETRI DAN KOMPOSISI TUBUH

Data antropometri yang diambil adalah berat badan dan ketinggian serta ukuran komposisi tubuh iaitu jumlah lipatan kulit. Pengukuran antropometri dan komposisi tubuh ini hanya dilakukan sekali sahaja iaitu pada peringkat permulaan kajian.

1.1 Berat badan

Berat badan atlet diukur dengan menggunakan alat penimbang TANITA Digital Scale (West Germany) yang telah dikalibrasikan dalam unit kilogram (kg) dengan kepekaan ± 0.1 kg. Pengukuran dilakukan dengan menempatkan alat penimbang di atas lantai yang rata dan mendatar. Atlet berpakaian minimum, ringan dan tanpa berkasut serta diarahkan berada sepenuhnya di atas panel penimbang dengan kepala menghadap ke hadapan semasa pengukuran dijalankan.

1.2 Ketinggian

Ketinggian diukur menggunakan SECA Body Meter 208 (West Germany) yang telah dikalibrasikan dalam unit meter (m) dengan kepekaan ±0.01 m. Semasa pengukuran dilakukan, atlet berdiri tegak di bawah pita Bodymeter dengan kedua-dua kaki dirapatkan di atas lantai dan mendatar. Kepala atlet pula berada pada kedudukan satah Frankfurt semasa bacaan diambil.

1.3 Pengkelasan Indeks Jisim Tubuh

Indeks Jisim Tubuh (IJT) dikira berdasarkan nisbah ukuran berat badan kepada ketiggian dalam unit kg.m-2 (WHO 1998).



1.4 Ketebalan lipatan kulit

Ukuran ketebalan lipatan kulit pada 7 bahagian tubuh untuk menentukan ketumpatan tubuh mengikut saranan Withers et al. (1987) bagi atlet lelaki diambil menggunakan Harpenden Calipers (United Kingdom) bertekanan 10g.mm-2 dan diukur sehingga ketepatan 0.1 mm. Bahagian tubuh tersebut meliputi trisep, subskapular, bisep, supraspinal, abdomen,depan peha dan tengah betis. Semua pengukuran dilakukan secara duplikat pada sebelah kanan tubuh subjek bagi memastikan keseragaman.

1.4 Protokol Landmarking

Sebelum pengukuran dilakukan, penentuan kawasan atau bahagian tubuh spesifik untuk ukuran ketebalan lipatan kulit ditentukan terlebih dahulu. Teknik ini dikenali sebagai landmarking dan ia merujuk kepada titik rangka yang bersentuhan dengan permukaan tubuh. Berikut merupakan antara bahagian tubuh spesifik yang ditandakan mengikut panduan International Society for the Advancement of Kinanthropometry (ISAK) dalam pengukuran lipatan kulit kajian ini (Norton et al. 2000):

1. Acromiale – penyelidik berdiri di belakang atlet, sentuh sepanjang tulang skapula atlet sehingga ke tepi akromion dan ditandakan. Pensil yang lurus digunakan pada lateral akromion untuk menentukan sempadannya. Acromiale adalah tempat sempadan lateral dan superior dimana ia merupakan posisi mid deltoid apabila dilihat dari tepi subjek.

2. Radiale – tempat bagi sempadan antara bahagian atas dan lateral tulang radius. Sentuh siku subjek supaya dapat merasai ruang antara kapitulum humerus dan kepala tulang radius. Lengan bawah subjek diputarkan supaya dapat merasai putaran pada kepala tulang radius. Bahagian sempadan superior lateral radius ditandakan.

3. Titik tengah Acromiale-Radiale – tangan atlet diluruskan, titik tengah antara acromiale dan radiale ditandakan. Kemudian, penanda diletakkan pada titik itu dan digerakkan secara horizontal ke permukaan posterior lengan atas. Ini adalah untuk menandakan lokasi pengukuran lipatan kulit trisep dan bisep.

4. Subskapular – atlet dikehendaki melipatkan tangan ke belakang, kemudian penyelidik menyentuh sudut inferior skapula dengan ibu jari dan lokasi tersebut ditandakan.

5. Iliospinale – penyelidik menyentuh secara menurun sepanjang tulang iliac crest sehingga hujung tulang itu ditandakan.

6. Ilio-axila – tangan atlet dinaikkan secara horizontal, bahagian lateral superior ileum ditandakan. Lokasi ilio-axilla adalah sambungan garisan titik tengah axilla dengan lateral superior ileum.

1.4.1 Protokol Pengukuran Lipatan Kulit

Pengukuran ketebalan lipatan kulit dimulakan dengan merujuk kepada lokasi- lokasi yang telah ditandakan melelui teknik landmarking. Berikut merupakan tujuh bahagian tubuh yang diukur dalam kajian ini :

1. Trisep – lipatan kulit dicubit dengan menggunakan ibu jari dan jari petunjuk kiri pada tanda di posterior garisan titik tengah acromiale-radiale. Lipatan kulit diambil secara selari dengan atas dan ukuran dibuat pada permukaan paling posterior trisep pada lengan tangan apabila dilihat dari tepi.

2. Subskapular – lipatan kulit dicubit dengan menggunakan ibu jari dan petunjuk kiri pada tanda 2 cm di bawah landmarks skapular dan condong pada sudut 45º.

3. Bisep – lipatan kulit dicubit dengan menggunakan ibu jari dan petunjuk kiri pada tanda di anterior garisan titik tengah acromiale-radiale. Lipatan kulit diambil secara selari dengan garisan lengan atas dan ukuran dibuat pada permukaan paling anterior bisep pada lengan tangan apabila dilihat dari tepi.

4. Supraspinale – ukuran dibuat pada titik silang antara anterior sempadan axillari dan superior sempadan ileum. Kedudukannya adalah 5 cm – 7 cm atas iliospinale dan condong pada sudut 45º mengarah ke bawah dan ke bahagian medial tubuh.

5. Abdomen – lipatan kulit diukur secara vertikal pada jarak 5 cm dari omphalalion di sebelah kanan tubuh. Omphalion merupakan titik tengah pusat.

6. Depan peha – ukuran dibuat secara selari denan paksi panjang femur pada kedudukan titik tengah antara lipatan inguinal dan sempadan paling atas patella. Subjek berada dalam keadaan duduk dengan membengkokkan lutut pada sudut 90º atau menegangkan kaki dengan tegak di atas kotak.

7. Tengah betis – subjek dikehendaki berdiri dengan kaki kanan berada di atas kotak atau berada dalam posisi duduk dalam keadaan lutut dibengkokkan pada sudut 90º. Ukuran dibuat secara vertikal pada bahagian yang mempunyai nilai ukur lilit yang paling maksimum pada medial betis.

Ketika ukuran dibuat, kulit atlet dicubit dengan menggunakan ibu jari dan jari petunjuk kiri 1 cm di atas titik pengukuran. Lipatan kulit yang dicubit terdiri daripada lapisan tisu adipos dan kulit. Semasa bacaan diambil, ibu jari dan jari petunjk hendaklah kekal pada lipatan kulit dan tidak dilepaskan. Bacaan kedua diambil setelah bacaan pertama untuk semua bahagian tubuh telah diselesaikan. Kemudian, purata bagi kedua-dua bacaan dicatatkan. Sekiranya wujud perbezaan sebanyak 5% atau lebih antara satu pengukuran dengan satu pengukuran berikutnya pada sesuatu bahagian tubuh, pengukuran kali ketiga dilaksanakan.

1.5 Pengiraan Peratus Lemak Tubuh

Ketumpatan tubuh (body density) dikira menggunakan persamaan Withers et al.(1987) yang mana persamaannya diolah berdasarkan hasil pengukuran jumlah ketebalan lipatan kulit pada tujuh bahagian tubuh atlet.

Persamaan Withers et al. (1987) yang digunakan bagi mendapatkan ketumpatan tubuh adalah seperti berikut:

BD = 1.0988 – 0.0004 (X1)

Nilai X1 adalah jumlah bacaan tujuh bahagian lipatan kulit

Kemudian, peratus lemak tubuh seterusnya dikira dengan menggunakan persamaan Siri (1961) seperti berikut :

Peratus lemak tubuh = 4.95 - 4.5 x 100
BD

No comments:

Post a Comment